Like Blog Ini...

Saturday, July 18, 2009

Berikhtiar mengatasi musibah

Oleh Wan Jemizan Wan Deraman

Menjadi hakikat kehidupan dalam menjalani kehidupan seharian, kita tidak dapat mengelak daripada terdedah kepada sebarang bentuk kemungkinan terutamanya yang berbentuk musibah dan malapetaka.

Allah SWT berfirman yang maksud-Nya: Dan Kami (Allah) pasti akan menguji kamu dengan secebis rasa ketakutan, kelaparan, kekurangan harta benda, kehilangan nyawa serta tanam-tanaman yang tidak menjadi. Dan khabarkanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. Iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata; Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan sesungguhnya kepada-Nya jualah kami akan kembali. (al-Baqarah: 155)

Musibah boleh menimpa kita tanpa mengira darjat, pangkat, umur, bangsa dan warna kulit. Ia akan mendatangkan mudarat dan penderitaan kepada kita dan akhirnya kita akan menanggung pelbagai beban dan kesulitan.

Malah yang lebih malangnya, kaum keluarga kita sendiri seperti anak dan isteri kita akan turut sama menanggung penderitaan.

Seiring dengan kemajuan teknologi yang serba moden dan canggih ini, setiap hari kita semakin terdedah kepada bahaya yang boleh mengancam keselamatan nyawa dan memusnahkan harta benda. Ertinya semakin maju sesebuah negara maka semakin tinggi peratusannya untuk terdedah kepada bahaya.

Pepatah Melayu ada menyebut, "malang tidak berbau, geruh tidak berbunyi". Kemalangan dan tragedi yang berlaku ini bukan sahaja mengakibatkan penderitaan dan kesusahan kepada kita sebagai mangsa tetapi turut ditanggung oleh ahli keluarga kita.

Apatah lagi seandainya kemalangan dan tragedi tersebut meragut nyawa kita sebagai ketua keluarga maka ini bermakna anak-anak dan isteri kita akan mengalami penderitaan, akibat hilang punca pendapatan mereka selama ini.

Hal ini akan menjadi bertambah buruk apabila kita tiada sebarang persiapan atau perancangan.

Kita sebagai umat Islam yang beriman dengan ketentuan qada dan qadar Allah semestinya meyakini bahawa segala bentuk musibah yang menimpa itu adalah ujian dari Allah SWT jua. Kita pula sebagai hamba-Nya yang taat hendaklah sentiasa bersedia menghadapinya dengan penuh keimanan dan kesabaran.

Oleh itu menjadi kewajipan kepada kita semua untuk berikhtiar dan berusaha sedaya upaya mengelak dan menjauhkan diri daripada kemungkinan berlakunya musibah, malapetaka atau bencana yang boleh mengancam nyawa dan juga keselamatan harta benda.

Malah Islam melarang kita daripada sengaja mendedahkan diri kepada mudarat dan kebinasaan sebagaimana firman Allah yang maksud-Nya: Belanjakanlah hartamu pada jalan Allah dan janganlah kamu sengaja mendedahkan dirimu kepada kebinasaan. Dan berbuat baiklah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebaikan. (al-Baqarah: 195)

Islam menyuruh kita supaya merancang dan mencari jalan bagaimana hendak mengatasi musibah atau sekurang-kurangnya bagaimana hendak meringankan bebanan yang terpaksa dipikul oleh kita atau oleh ahli keluarga kita jika sesuatu musibah menimpa.

Pernah satu ketika seorang Arab Badwi bertanya kepada Baginda Rasulullah SAW apakah beliau perlu menambat untanya sebelum masuk ke masjid untuk bersembahyang ataupun hanya membiarkan begitu sahaja untanya tanpa perlu menambatnya terlebih dahulu.

Maka Baginda SAW bersabda kepada orang Arab Badwi itu dengan sebuah hadis sahih yang maksudnya: "Tambatlah unta kamu terlebih dahulu dan kemudian barulah bertawakal kepada Allah". (riwayat Tarmizi)

Musibah jangan dicari

Daripada hadis tersebut, Baginda SAW mendidik kita supaya musibah jangan dicari. Malah Baginda menyuruh kita mencari jalan bagaimana hendak mengatasi musibah sebelum ia menimpa.

Kesan daripada kemalangan yang menyebabkan maut atau kecederaan parah akan membuatkan penderitaan yang ditanggung oleh mangsa dan keluarganya menjadi lebih berat. Sesungguhnya kematian tidak dapat digantikan dengan wang ringgit tetapi kecederaan tubuh badan pasti memerlukan rawatan.

Dalam hal ini, bekalan wang secukupnya adalah sangat mustahak. Sekurang-kurangnya derita yang ditanggung menjadi lebih ringan. Pada masa yang sama, penderitaan kita akan bertambah jika musibah yang menimpa membawa kepada kemusnahan tempat tinggal dan kehilangan harta benda milik kita. Yang hilang perlu diganti. Yang musnah harus pula dibaiki.

Persoalan yang timbul ialah dari manakah manfaat wang atau kemudahan seumpama ini akan dapat kita perolehi bagi membantu ahli keluarga kita yang hilang tempat pergantungan? Dan dari sumber manakah untuk memperoleh manfaat kewangan bagi mengganti atau membaik pulih harta benda yang musnah atau yang hilang itu?

Jika ditakdirkan kita sebagai ketua keluarga meninggal dunia, siapakah di kalangan ahli keluarga kita yang akan menjelaskan tanggungan hutang kita sekiranya kita mempunyai hutang yang masih belum dijelaskan?

Hakikat kemungkinan berlakunya musibah atau bencana ini, sepatutnya menjadikan kita lebih bersedia menghadapinya dari awal lagi.

Antara persediaan yang terbaik ialah kita hendaklah mempunyai sejumlah wang yang mencukupi sebagai bekalan untuk menghadapi sebarang kemungkinan buruk jika ditakdirkan menimpa kita.

Dengan bekalan wang ini, bebanan ahli keluarga kita akan menjadi lebih ringan bagi meneruskan kehidupan seharian mereka selepas kematian kita yang menjadi tempat pergantungan mereka.

Bekalan wang ini juga boleh digunakan untuk membeli harta benda yang baru menggantikan harta benda yang sudah musnah. Di samping itu biarlah kita berazam untuk mempunyai sejumlah wang yang boleh digunakan semasa melalui hari-hari persaraan atau hari-hari tua kita kelak.

Antara jalan ikhtiar yang boleh dirancang dan diusahakan oleh kita bagi mencapai matlamat tersebut ialah dengan cara mendapatkan perlindungan (protection) menerusi sistem takaful atau insurans secara Islam.

Hari ini pelbagai institusi kewangan Islam telah ditubuhkan di negara kita untuk tujuan-tujuan tersebut yang selaras dengan ajaran Islam seperti perbankan Islam dan takaful untuk keperluan perlindungan.

Dengan kewujudan pengendali takaful yang kini berjumlah sembilan pengendali ke semuanya mampu menawarkan pelbagai skim dan pelan yang boleh memberikan manfaat dan menawarkan perlindungan yang amat berfaedah kepada kita umat Islam.

Dengan cara ini kita akan memperoleh perlindungan dalam bentuk kewangan sebagai bekalan untuk menghadapi musibah dan bencana yang bila-bila masa sahaja berkemungkinan menimpa kita. Di samping itu, kita juga berpeluang bermuamalat dengan sistem kewangan Islam yang bebas daripada sebarang dosa riba.

nWAN JEMIZAN WAN DERAMAN ialah Penolong Naib Presiden, Jabatan Pematuhan Syariah, Takaful Ikhlas Sdn. Bhd.

1 comment:

Rantong said...

Ujian Allah ttg kemiskinan tu lah yg menyebabkan umat Islam takut utk berniaga walaupun nabi telah memberikan janji bahawa 9 per sepuluh rezeki tu datangnya dari perniagaan.

_______________________
View Profile: Rantong™